Translate

19 October 2017

Rakyat Malaysia Maut Terkena Tembakan Rambang Dalam Sekatan Polis di Thailand







Rakyat Malaysia maut terkena peluru sesat




16 Oktober 2017

TAK BAI: Rakyat Malaysia, Wan Mohd Zain Wan Hussin maut terkena peluru sesat dalam insiden keganasan di Tak Bai, selatan Thailand, kata polis Tak Bai.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, di Kampung Cek He, Wan Mohd Zain, 46, yang menunggang motosikal berhenti untuk diperiksa anggota polis Thailand, terkena peluru yang ditembak beberapa lelaki ke arah pusat pemeriksaan terbabit.
Sementara itu di Tumpat, abang mangsa, Wan Pa Wan Hussin, 58, berkata mangsa baru menyambut hari lahirnya kira-kira dua minggu lalu.
Beliau berkata, adiknya yang juga seorang duda dan mempunyai empat anak berusia antara 12 hingga 20 tahun itu jarang pergi ke negara jiran melainkan atas sesuatu urusan.
"Kami pun tidak tahu tujuan mangsa ke Tak Bai kerana dia tidak pernah pergi ke sana pada waktu malam.
"Saya hanya berjumpa mangsa kira-kira dua minggu lalu dan sebelum ini arwah ada berpesan supaya keluarga menjaga empat anaknya jika terjadi apa-apa terhadap dirinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor di sini.
Wan Pa berkata, mereka mengetahui kejadian yang menimpa anak bongsu daripada lapan beradik itu pada jam 12 tengah malam tadi selepas diberitahu seorang kenalan mangsa.
Sementara itu, kakak mangsa, Wan Rokiah Wan Hussin, 53, berkata walaupun sedih dengan berita yang diterima namun mereka sekeluarga lega kerana adiknya yang bekerja sebagai tukang masak di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, tidak terbabit dengan kejadian jenayah.
"Sebaik dimaklumkan berita mengenai kejadian tembakan malam tadi, kami menyangkakan ada yang tidak berpuas hati dengannya (mangsa) namun lega apabila mengetahui perkara sebenar (tembakan rambang)," katanya sambil memberitahu jenazah adiknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketil, petang ini.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED