Menyifatkan wanita itu menyimpan dendam, Maria dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Mutiara Damansara memberitahu, Karen tidak pernah putus asa cuba memburuk-burukkan namanya. Wanita itu sekali gus berniat untuk melihat karier lakonannya jatuh.

Dalam masa yang sama, Maria yakin dan percaya, tindakan Karen itu didorong rasa cemburu melihat dirinya dan suami bahagia. Selain itu, Karen juga tidak berpuas hati apabila hak penjagaan dua anaknya, Aishyea Rahman, 11, serta Qalif Ryan,7, hasil perkahwinan dengan Rahman sebelum ini diserahkan kepada lelaki itu.

Ekoran itu, Maria mendakwa bertalu-talu ‘serangan’ psikologi dilancarkan dirinya oleh Karen di laman sosial miliknya dengan membuat pelbagai tuduhan terhadap pasangan itu.

Disebabkan telah lama berdiam diri, akhirnya Maria mengambil keputusan memanjangkan kes itu ke muka pengadilan bagi menuntut keamanan dan keharmonian dalam melayari bahtera yang dibinanya. Hits paparkan butir bicara Maria yang bertindak memfailkan tindakan undang-undang terhadap Karen bertarikh 6 Mei 2016.

HITS: Isu demi isu timbul kebelakangan ini semenjak anda mendirikan rumah tangga dengan Rahman. Mula-mula dituduh sebagai perampas, bagaimanapun tuduhan itu sudah dijawab sebelum ini. Tidak cukup dengan itu, wujud pula beberapa hal lain yang memburukkan nama Maria. Apa yang berlaku sebenarnya?
MARIA: Saya mengahwini Rahman selepas mereka bercerai kira-kira selepas Syawal pada 2015. Memang betul, saya mengenali suami menerusi Karen pada 2014 selepas diperkenalkan oleh seorang rakan lain.

Setahun perkenalan kami, saya ditawarkan menjadi duta produk kecantikannya dengan dijanjikan bayaran tertentu mengikut kontrak. Ketika itu, Rahman secara tidak langsung adalah bos saya.

Bagaimanapun, selepas enam bulan, proses pembayaran tidak lancar dan akhirnya saya membuat keputusan menarik diri. Sejak itu, saya tidak berhubung dengan mereka. Tiba-tiba, tidak lama selepas itu saya dengar mereka telah bercerai dan barulah saya hubungi semula atas rasa simpati. Ketika itulah hubungan saya dengan Rahman mulai rapat tanpa sengaja dan akhirnya berkahwin.

Apabila Karen mengetahui hal itu, dia terus menuduh saya merampas suaminya sedangkan hubungan kami mula berputik selepas mereka bercerai.

Apakah lagi punca yang menyebabkan dia berbuat demikian?
Sebaik mereka bercerai, hak penjagaan dua anak mereka diserahkan kepada Rahman. Itu menambahkan lagi ‘kemarahan’ Karen yang membuatkannya tidak senang duduk. Jadi, mungkin dengan memuat naik status berbau fitnah sebegitu dapat memberinya peluang untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak.

Mula-mula saya sabar sahaja. Akan tetapi, tuduhan mengatakan saya menampar salah seorang anaknya iaitu Qalif benar-benar menguji kesabaran saya. Sedangkan kakaknya, Aishyea sentiasa ada bersama adiknya. Dia tahu saya tidak pernah menyentuh mereka dengan kasar, apatah lagi menaikkan tangan ke muka anak-anak.

Saya ada anak kandung, Mizan Ashley yang kini sudah berusia 19 tahun dan tahu bagaimana untuk menjalankan peranan seorang ibu walaupun mereka bukan anak kandung saya. Aishyea dan Qalif dilayan seperti anak sendiri setiap hari. Suami saya menjadi saksi melihat sendiri layanan yang diberikan. Jadi, sangat pelik apabila Karen yang tidak duduk bersama kami lebih mengetahui hal tersebut.

Jadi, semua kata-kata yang dilemparkan kepada saya bersifat menghasut, bukannya fakta. Ia direka semata-mata untuk menjatuhkan nama saya dan mengaibkan. Oleh yang demikian, had kesabaran saya sudah berada pada tahap maksimum dan tindakan lanjut perlu dilakukan dengan membawanya ke muka mahkamah.

Suami macam mana?
Suami pun kena juga. Kalau diikutkan, kami berdua telah membuat kira-kira 50 laporan polis secara berasingan berdasarkan ugutan yang diterima. Beratus-ratus mesej yang diterima daripadanya yang mengancam keselamatan kami. Tidak satu pun kami balas kerana tidak mahu memanjangkannya.

Baru-baru ini, disebabkan Karen ingkar perintah mahkamah atas hak penjagaan anak-anak, suami saya telah pergi sendiri ke kediamannya untuk menjemput Qalif. Gara-gara sikap degilnya dan enggan membenarkan kanak-kanak itu pulang, dia melanggar Rahman sehingga terseret di atas jalan raya lalu menyebabkan suami saya mengalami kecederaan.
Itu sahaja menunjukkan betapa teruk tindakannya terhadap kami dan tidak pernah sekali mahu mengaku kesilapan yang dilakukan.

Apa perkembangan laporan itu?
Ini satu lagi masalah. Setiap kali kami membuat laporan atas ugutan atau fitnah, polis memberi alasan ia adalah masalah rumah tangga dan sukar untuk mereka masuk campur.

Suami amat kecewa dengan sikap berkenaan. Takkan nak tunggu kami mati baru ada siasatan terperinci dijalankan? Kami sedar ia memang masalah rumah tangga, tetapi sudah melampaui batas, tak kan polis tidak boleh ambil apa-apa tindakan? Kami amat berharap polis serius dalam menangani masalah ini kerana keselamatan kami terancam.

Apa lagi yang anda dan suami lakukan selain menunggu kes ini dibawa ke mahkamah serta maklum balas siasatan polis?
Saya dan suami terpaksa menanggung kos lebih kerana perlu mengupah pengawal peribadi. Dulu saya pernah diugut disimbah asid, serta bermacam-macam lagi. Diakui, memang saya takut sebab itulah kena ada orang yang mengawal keselamatan selain suami.

Sekarang ini, kami menunggu kes diuruskan peguam dan berharap mendapat semula keamanan dan ketenteraman kami sekeluarga.